Sunday 1 April 2018

JOHARI GHANI FOR TITIWANGSA

Sudah hampir 5 tahun sejak kerusi Parlimen Titiwangsa kembali ke tangan Barisan Nasional (BN) selepas 5 tahun berada di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di antara 2008 hingga 2013.
 
Kerusi Parlimen Titiwangsa berjaya dirampas semula oleh tidak lain tidak bukan Johari Abdul Ghani, anak jati kelahiran Kampung Pandan yang juga merupakan Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa.
 
Seorang yang bukan asing di Titiwangsa, Johari atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Jo sudah aktif berpolitik sejak 1988 dan memegang pelbagai jawatan dalam UMNO Titiwangsa sehinggalah dilantik menjadi pemangku Ketua Bahagian dan juga Pengerusi Penyelaras BN Titiwangsa.
 
Sebelum memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada tahun 2013, Johari sudah pun menempa nama di dalam bidang korporat dengan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengarah beberapa buah syarikat yang tersenarai di dalam Bursa Malaysia dengan kepakaran beliau membaik-pulih prestasi syarikat melalui penstrukturan kewangan dan penggabungan dan pengambilalihan.
 
Kerjaya politik Johari juga tidak kurang menariknya. Setelah diberi mandat oleh penduduk Titiwangsa pada Mei 2013, dua bulan selepas itu beliau diberi kepercayaan untuk meneraju UDA Holdings Berhad sebagai Pengerusi di mana beliau bertanggungjawab menyelia dan melancarkan projek-projek yang berkaitan dengan sektor perniagaan, industri dan perumahan dan juga infrastruktur bandar.

Dua tahun selepas itu Johari dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan di tengah-tengah krisis kejatuhan harga komoditi seperti harga minyak mentah dunia yang jatuh menjunam daripada lebih 100 dollar setong kepada 50 dollar setong yang membawa cabaran baru kepada ekonomi Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport minyak dan gas.

Sesuai dengan kelayakan beliau sebagai akauntan bertauliah (ACCA) dari UK dan pengalaman beliau sebagai tokoh korporat yang berjaya, kurang setahun selepas dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan, Johari diberi kepercayaan oleh YAB Perdana Menteri untuk menyandang jawatan Menteri Kabinet sebagai Menteri Kewangan Ke-II, salah satu jawatan kabinet yang paling penting di dalam pentadbiran negara.
 
 
Dengan harga komoditi seperti minyak mentah, gas asli dan minyak kelapa sawit yang kekal rendah bagi tempoh 2 tahun lebih sepanjang 2015 - 2016, Johari  berdepan tugas getir membantu Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan untuk menguruskan hal ehwal kewangan negara yang terkesan dengan kejatuhan hasil petroleum kerajaan lebih RM30 billion.

Tugasan meraih hasil kerajaan yang lain selain petroleum, mengawal perbelanjaan mengurus kerajaan dan meyakinkan agensi penarafan kredit seperti Moody's, S&P dan Fitch tatkala matawang Ringgit menyusut dilaksanakan dengan cemerlang apabila nisbah defisit Kerajaan Persekutuan diturunkan daripada 3.2% kepada 3.0%, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan berjaya diturunkan daripada 52.7% kepada 50.8% dan agensi-agensi penarafan kredit mengekalkan penarafan A- dan A3 kepada bon Kerajaan Malaysia.

Hasil pengurusan kewangan berhemah oleh Perdana Menteri dibantu oleh Johari selaku Menteri Kewangan Ke-II, didorong juga dengan harga komoditi seperti harga minyak mentah dunia yang semakin pulih, Ringgit juga kembali memulih. Malaysia juga mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada kadar 5.9% (2017), melonjak daripada 4.2% tahun sebelumnya (2016).

Walaupun sibuk dengan tugasan rasmi beliau sebagai Menteri Kewangan Ke-II, Johari tidak pernah mengabaikan penduduk Titiwangsa yang memberi mandat kepada beliau. Setiap hari Jumaat dari 2 petang sehingga lewat petang, sekiranya tidak mempunyai tugasan ke luar negara, Johari akan berada di Pusat Khidmat Masyarakat Titiwangsa di Desa Pandan untuk mendengar aduan atau sebarang permasalahan daripada penduduk Titiwangsa secara terus. Johari akan cuba menyelesaikan aduan dan masalah rakyat dengan sedaya upaya dan sebaik mungkin tanpa mengira kaum, agama dan status.



Kisah kejayaan anak Titiwangsa yang bermula dengan kehidupan di setinggan, sehingga memperolehi kelayakan akauntan bertauliah (ACCA) dari UK, mencatat kejayaan cemerlang di dalam bidang korporat seterusnya menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet menjadi inspirasi majoriti penduduk Titiwangsa untuk terus menyokong beliau sebagai wakil rakyat mereka.
 
Dengan pilihanraya umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir, pilihan untuk pengundi Titiwangsa sangat jelas. Johari Abdul Ghani calon P119 Titiwangsa tetap menjadi pilihan mereka.

No comments:

Post a Comment